Negara palestin melalui sejarah yang cukup panjang dan getir. Sepanjang kewujudannya memang tidak pernah sunyi dengan pelbagai konflik yang merencanakan sejarah dan masa depan dunia. Bermula dari 638 M, Umar bin Khattah telah memerdekakan palestin dari penjajah Rom sehinggalah kepada peristiwa penubuhkan sebuah doktrin untuk mendirikan negara Yahudi Israel oleh Theodore Hertzl pada tahun 1896. Antara peristiwa genting dalam sejarah Palestin adalah pada tahun 1967 apabila Israel menyerang Mesir, Jordan dan Syria selama 6 hari atas alasan menghalang pencerobohan dan juga pembunuhan kejam ratusan rakyat palestin di Sabra dan Shatila pada tahun 1982. Kini sejarah-sejarah kejam itu semakin kita lupakan. Nada suara kita semakin perlahan dalam memperjuangkan hak kita itu. Jika ada pun, suara itu umpama selingan yang bermusim. Sekejap kuat ia berdengung, sekejap ia diam terdungu.

  

Sudahlah negara palestin masih belum mampu kita namakan sebagai sebuah negara milik rakyatnya secara rasmi, ditambah buruk pula dengan dengan kerja-kerja gila zionis yahudi apabila mereka mula mengali terowong di bawah Masjid Al-Aqsa. Kerja gila ini telah bermula semenjak tahun 1967 apabila Israel telah menggali terowong sepanjang 70 meter. Sehingga kini kerja ini masih berterusan secara terancang dan sistematik. Cita-cita yahudi untuk mendirikan “Kuil Haykal” semakin menampakkan sinarnya. Dengan usia yang semakin melewati senja, ditambah pula dengan kerja-kerja penggalian bawah tanah, struktur binaan Masjid Al-Aqsa semakin terancam. Sampai bilakah Al-Aqsa mampu bertahan? Adakah sempat kita mendapat kembali hak sebagai pemilik tunggal Al-Aqsa sebelum ia rebah tersembam menyembah bumi?

 

Masalah yang dihadapi oleh negara palestin dan umat islam ini memerlukan satu pendirian yang konsisten dan lantang oleh semua kuasa besar dalam kelompok negara islam. Masalah utama yang dilihat adalah apabila kebanyakkan negara islam yang bernaung di bawah nama OIC melagukan rentak yang pelbagai dan semestinya berbeza. Masing-masing berbeza mengikut keperluan dan kadangkala bersifat tidak membantu. Jika benar kita berpegang pada firman Allah ini (AQ 49:10), pastinya isu ini akan dapat diselesaikan tanpa banyak masalah.

 

“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara……”

                                                                       (Surah Al-Hujuraat:10)

 

Apakah sumbangan anda terhadap pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka? Adakah anda mangsa yang seterusnya? Perhatikan dunia disekeliling anda, nilaikan… pasti anda ada jawapannya.

Sudahkah anda bersedia?

 

“Masalahnya kita hanya bercakap, sementara zionis sedang bekerja. Mereka terus membuat perancangan, sementara kita tidak ada kerja. Mereka terorganisasi, sementara kita bercerai berai. Mereka sentiasa bersatu sementara kita bercakaran sesama sendiri.”

                   (Dr Yusuf Al-Qardhawi, Persidangan Institusi Al-Quds ke-5, Aljir Al-Algeria)