1
26 Mei 2008, Bukit Gambir
“Yeaaaaaaaaaaaaaaaaaahh! Ada artis nak datang sini!” pekik sekempulan kanak-kanak sambil berlari menuju ke surau berhampiran. Disebut ayat itu berulang-ulang kali.
‘Eh, apalah yang budak-budak ni menjerit suka sangat? Artis? Kenapa pula nak datang sini?’ Desus hati Aishah. Lamunannya yang dari tadi mengharapkan ilham terganggu dek kerana suara jeritan dari kanak –kanak tadi.
Komputer riba miliknya yang bertentangan dengan tingkap segera dimatikan. Sudah hampir dua jam dia termangu menghadap komputer, namun belum pun sebaris ayat yang mampu dia nukilkan di skrin komputer. Dengan langkah yang malas dia bergerak menuju keluar bilik.
“Aishah, kamu buat apa dalam bilik lama-lama tu? Sapa Haji Kusman muka pintu.
“Tak buat apa-apalah Abi, Aishah cuma termenung dalam bilik je.” Balas Aishah sambil tersenyum melihat ayahnya yang baru pulang dari Surau menunaikan solat Asar.
“Termenung ke atau teringat kat seseorang? Dari Zuhur sampai sekarang baru keluar dari bilik.” Haji Kusman mula bertanya dengan nada bergurau. “Ish Abi ni, mana ada. Kalau ada pun Aishah teringat kat Abi la, nak teringat kat sapa lagi.” Aishah segera menjawab usikan ayahnya itu. kedua-dua beranak itu terus ketawa melihat telatah masing-masing.
“Abi, tadi Abi ada dengar tak suara budak-budak menjerit?” Aishah melangkah menuruti ayahnya.
“Budak-budak jerit? Mungkin pasal ada orang dari Kuala Lumpur nak datang sini agaknya.” Teka Haji Kusman.
“Kuala Lumpur? Siapa?” Suara Aishah penuh minat.
“Dua minggu lepas Wak Sariman ada cakap tentang satu rombongan dari Kuala Lumpur nak jadikan kampung kita ni sebagai tempat pengambaran filem, agaknya rombongan tu dah sampai, itu agaknya sebab budak-budak ni suka sangat,” balas Haji Kusman sambil jarinya pantas memicit button numbor 3 pada remote control televisyen. Petang Jumaat memang menjadi kegemaran Haji Kusman untuk menonton siri Al-Kuliyyah yang disiarkan pada jam lima petang. Aishah hanya menganggukkan kepala membalas respon terhadap jawapan ayahnya. Tapi hati Aishah tetap tertanya-tanya, apakah nama produksi filem itu? siapakah pelakonnya? siapakah pengarahnya? Namun mulutnya terkunci untuk bersuara, takut nanti pertanyaannya akan disalah anggap oleh ayahnya. “Eh, kamu ni dah solat ke belum?” Soal Haji Kusman yang tidak senang melihat anaknya duduk termenung disebelahnya. Sambil tersenyum, Aishah hanya membuat bentuk bulat menggunakan jarinya. Haji Kusman membalas senyuman anaknya tanda dia faham maksud anaknya.
Aishah bergerak meninggalkan ayahnya yang semakin asyik menonton rancangan kegemarannya. Tangannya disandarkan ke bahu tingkap, matanya redup memandang ke bawah melihat halaman rumahnya yang sudah lama tidak disapu. Daun-daun pohon rambutan kelihatan begitu banyak bertaburan. Walaupun dia telah kebah dari demam sejak dua hari yang lalu, tapi dia terasa badannya malas untuk bergerak turun kebawah.
“Ustazah!” Jerit seorang kanak-kanak dari bahu jalan. Badannya kelihatan berlumpur.
Lamunan Aishah terhenti, lantas dia mengecilkan anak matanya untuk melihat siapa yang memanggilnya.
“Eh, Aiman. Kamu dari mana ni? Kamu dari baroh ke?” Soal Aishah kehairanan melihat anak didiknya berlumpur seluruh badannya. Aiman memang terkenal dengan kenakalannya, namun dia amat rapat dengan Aishah. Aishah sudah menganggap Aiman sebagai adik keduanya.
“Aiman baru balik dari sungai Ustazah. Tadi Aiman dengan Sapik pancing ikan, dapat ikan baung. Ustazah nak tak ikan ni? Emak tak boleh makan ikan, pantang katanya.” Kanak-kanak kecil itu memang petah berkata, tidak langsung memperlihatkan usianya yang baru sahaja mencecah usia sepuluh tahun.
“Eh, bila masa mak kamu tak boleh makan ikan ni? Pandailah kamu ni Aiman. Dahlah, kamu tu pergilah balik, bising pula mak kamu tu nanti.” Tersenyum Aishah mendengar kata-kata Aiman.
“Ustazah tak nak la yea maknanya, rugilah ustazah tak ambil ikan ni.” Balas Aiman bersahaja. Kemudian anak kecil ini segera berlari apabila melihat ibunya yang sedang menunggu di hadapan rumahnya. Rumah Haji Kusman dengan bekas menantunya memang dekat, hanya selang beberapa rumah sahaja. Aishah ketawa kecil melihat telatah anak kecil itu.
“Kamu cakap dengan Aiman ke?” Tiba-tiba Haji Kusman bersuara.
“Ha ah Abi, dia baru balik dari baroh. Tangkap ikan katanya.” Jawab Aishah.
“Ish, degil betullah budak Aiman ni. Mak dia dah berapa kali pesan jangan pergi main kat sungai tu, bahaya! Anak Wak Mail dah arwah sebab mandi kat sungai tu.” Tegas Haji Kusman. Dia sendiri secara peribadi pernah memarahi Aiman. Tapi cucunya itu memang degil!
Ingatan Aishah kembali berlegar mengingati peristiwa dua tahun lalu dimana anak Wak Mail, Aman lemas ketika mandi bersama kawan-kawannya yang lain. Walaupun Aman memang terkenal di kampung sebagai “pakar renang”, namun dia tetap tewas dengan arus sungai yang deras ketika itu.
“Kamu nanti nasihatkan dia, cakap kamu tu dia nak dengar sikit.” Sambung Haji Kusman. Aishah hanya mengangguk faham. Fikirannya masih berlegar pada peristiwa dua tahun lalu. Tanpa dia sedar, hujan mulai turun membasahi bumi. Setelah bunyi hujan yang jatuh ke atas atap zink rumahnya semakin kuat, barulah dia tersedar. Dengan segera dia mengambil anak tudungnya berlari turun ke ampaian untuk mengambil baju yang dijemurnya pagi tadi. Namun terlambat, semuanya sudah basah kuyup.
bersambung…